|
| Siapakah `ratu pecut' Kabinet? |
| Thursday, June 22, 2006 |
Siapakah `ratu pecut' Kabinet?
Jun 21, 06 1:29pm
Siapakah `ratu pecut' Kabinet? Adakah dia wanita besi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz? Atau Timbalannya dalam Pergerakan Wanita Umno, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat? Atau mungkin yang termuda antara mereka – Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman?
Mengikut lamanweb rilek.com.my, yang menyediakan perkhidmatan online bagi memudahkan pemandu menyemak dan membayar saman trafik mereka – gelaran `ratu pecut' itu jatuh kepada Azalina.
Azalina, 43, menerima 28 saman bagi kesalahan trafik sejak empat tahun lalu – kecuali dua saman, yang lainnya bagi kesalahan memandu melebihi had laju.
Menteri Belia dan Sukan itu melakukan kesalahan tersebut membabitkan lima kenderaan berlainan yang didaftarkan di bawah namanya.
Menurut Rilek.com, jumlah denda bagi kesemua saman Azalina itu berjumlah RM8,400, tetapi selepas ditolak diskaun oleh pihak polis, jumlahnya hanya tinggal RM3,850.
Sementara itu, Rafidah pula menduduk tempat kedua dengan 10 saman – tujuh kerana memandu melebihi had laju dan tiga saman bagi kesalahan meletak kenderaan – bertarikh sejak tahun 2003.
Jumlah denda samannya ialah RM3,000 tetapi selepas diberi diskuan, jumlahnya hanya tinggal RM1,180. Dan semua saman Rafidah itu disenaraikan di bawah nombor kad pengenalan lamanya.
Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat menyemak kedudukan Shahrizat kerana tidak mempunyai nombor kad pengenalannya yang baru ataupun yang lama.
Awal bulan ini, malaysiakini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah dikenakan 11 saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju serta kesalahan meletak kereta.
Abdullah dilaporkan berkata beliau tidak menyedarinya sehinggalah dimaklum kemudiannya mengenai saman tersebut.
Denda saman Abdullah pada asalnya berjumlah RM3,300 tetapi selepas ditolak diskaun oleh pihak polis, jumlahnya hanya tinggal RM1,000.
Dr Mahathir juga?
Bagaimana pula dengan bos Abdullah sebelum ini – Tun Dr Mahathir Mohamad?
Mengikut Rilek.com, Dr Mahathir mempunyai tiga saman – semuanya kerana memandu melebihi had laju. Denda samannya berjumlah RM900, tetapi mendapat 50 peratus diskaun. Bagaimanapun, saman trafik bekas Perdana Menteri itu bertarikh sehingga tahun lalu sahaja.
Yang menariknya, nombor kad pengenalan Dr Mahathir menunjukkan yang beliau dilahirkan pada 25 Disember 1920 dan bukannya tarikh rasmi pada 25 Disember 1925. Berdasarkan KP tersebut, bekas Perdana Menteri itu berusia 86 tahun dan bukannya 81 tahun.
Semalam, Malaysiakini melaporkan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar juga mempunyai 89 saman trafik – dengan denda saman berjumlah RM26,700 – sejak enam tahun lalu.
Awal bulan ini, polis telah melancarkan 'Ops Warta IV' yang akan berakhir 5 Ogos depan untuk mengesan pemandu yang gagal membayar denda saman mereka.
Menurut polis, saman bernilai RM2.82 bilion yang dikeluarkan dari tahun 2001 hingga 2004 masih belum dibayar oleh 9.4 juta pesalah trafik. |
posted by journal rAkyAt m@rhean @ 6/22/2006 01:39:00 PM  |
|
|
|
|
| journalrakyatmarhean |
|

Name: journal rAkyAt m@rhean
Home:
About Me: Penulisan yang dipaparkan di sini adalah untuk perkongsian minat atau maklumat yang berkaitan dengan isu semasa, sama ada dari aspek Ekonomi, Sosial, dan Politik merangkumi dari dalam dan luar negera. Mungkin juga penulisan dan imej yang diambil daripada sumber lain untuk perkongsian bersama.
See my complete profile
|
| yang lepas |
|
| arkib |
|
| rakan |
|
|
| Powered by |
 |
|