journal rakyat m@rhean

sebuah laman bebas,yang kreatif dan kritis..

 
TIGA REGU
SUPERDET
UNDURLah

UndurLah.jpg

SOLDIERS
TIDOQ LAGI
ROUND TWO
300 VOTES
SLEEPERS
JOHORE ROYALE
INCREDIBLES
Mahathir diamlah!
Tuesday, June 20, 2006


Oleh Mohd Sayuti Omar

Apa yang dinamakan sebagai penyakit selepas pencen (pasca Perdana Menteri kata Musa Hitam) nampaknya semakin mengganggu minda bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Semakin hari semakin teruk pula penyakit itu mengasak pemikirannya sehingga ia menyerlahkan perilaku dan pembawaan yang menampakkan kurang sihat.

Kadangkalanya telatah pembawaan itu juga menjadikan Mahathir bukan saja nyanyuk tetapi semacam tidak siuman lagi!

Salah satu daripada kesan (sindrom) tekanan penyakit itu ialah merasakan orang lain tidak baik dan tidak sebijak diri kita. Beranggapan tindakan dan keputusan orang lain boleh memberikan musibah, dan bukan kebaikan kepada negara. Pengidap penyakit ini merasakan apa yang pemimpin atau pihak-pihak lain lakukan seolah-olah mahu meletakkan negara dalam keadaan tidak selamat.

Penyakit ini sebenarnya teruk dan lebih sukar untuk diubati berbanding penyakit kencing manis, darah tinggi hatta jantung. Kerana penyakit ini disongsong oleh rasa egois dan amarah yang tinggi di dalam diri seseorang pengidapnya. Kesan daripada penyakit ini dalam konteks pemerintah negara menyebabkan seseorang itu tidak ada hormat langsung kepada keputusan ataupun kepimpinan orang lain. Malang lagi, ia melihat orang lain buruk dan hodoh.

Penyakit inilah yang menimpa telah Mahathir dan menyebabkan bekas Perdana Menteri itu acap kali mengeluarkan kenyataan yang kontras dengan pendiriannya sebelum ini dan juga kritikan terhadap Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas PM itu tidak menghormati Abdullah kerana Abdullah mengubah beberapa dasar yang diperkenalkannya. Walaupun pengubahan dilakukan Abdullah itu ada rasional dan ada keperluannya (semasa), namun hakikat ini tidak nampak kepada Mahathir. Perasaan sombong dan egois – merasakan diri sendiri betul, menutup segala pandangan untuk melihat apa-apa kerja atau tindakan orang lain.

Sebenarnya penyakit ini sudah lama merenggui diri Mahathir. Sejak beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Beliau sudah sakit! Perasaan merasakan dirinya saja yang baik, cerdik dan betul menghantui dirinya. Serentak itu dia merasakan orang lain tidak berguna sama sekali. Perhatikan apa yang beliau tuduh terhadap parti pembangkang (Pas dan DAP) dan juga bekas timbalannya Anwar Ibrahim. Seolah-olah pembangkang dan Anwar tidak ada guna satu sen pun dan berada di pihak bersalah seratus peratus.

Hakikat ini diakui oleh Musa Hitam bekas timbalannya. Apa yang menimpa Musa Hitam adalah contoh dan bukti terbaik. Kenapa Musa mengambil tindakan meninggal kabinet sekitar 1986 ialah kerana tidak tahan dengan sikap dan egoisnya (Mahathir). Musa terpaksa berundur apabila dia merasakan peranannya itu hanya menghabiskan wang negara saja. Musa tidak boleh berperanan seperti sepatutnya menerusi jawatan itu dan apa-apa pandangannya untuk membina negara ataupun memperbetulkan tindakan salah Mahathir ditolak mentah-mentah oleh Mahathir.

Sebagai orang yang ada prinsip, ada maruah dan tidak mahu bersubahat untuk menjahanamkan negara dan juga Umno, Musa merasakan dirinya tidak pantas berada lama dengan Mahathir, kerana dia bukan jenis boneka yang boleh dijadikan alat, apa lagi tidak rela memakan hati berulam jantung, lantas itulah beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Keadaan seperti ini bukan saja berlaku kepada Musa, tetapi jemaah menteri lain juga. Bagaimanapun menteri lain meskipun tidak setuju namun tidak berani pula untuk beritndak ke atas Mahathir. Apa lagi apabila Mahathir memberi jawatan, mereka terus mengulum kemarahan kepada Mahathir di dalam halkumnya.

Di antara sebab berlaku protes kabinet (team B) kepada Mahathir tahun 1987 dulu, ialah kerana pengamalan sikap dan budaya itu oleh Mahathir. Tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menentang Mahathir untuk kerusi Presiden Umno juga adalah retentan daripada hal-hal seumpama itu.

Dan sikap egois itu terbawa sampai ke hari ini. Mahathir semacam tidak merasakan yang beliau sudah pun tidak menjadi Perdana Menteri. Lantaran itu beliau masih mahu bercakap, termasuk menyentuh mengenai dasar-dasar dan polisi baru yang diperkenalkan oleh penggantinya Abdullah Badawi. Beliau masih mahu mengemukakan idea serta membantah apa-apa yang dilihat dari kacamata beliau (yang masih terperasaan) sebagai Perdana Menteri.

Tidak menjadi kesalahan kalaupun beliau ingin menegur atau memberi buah fikiran. Umum percaya, Abdullah sendiri sangat memerlukan nasihat dan tunjuk ajar daripadanya. Pengalaman sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun cukup diperlu oleh Abdullah untuk membangun negara. Tetapi kalau beliau bersikap mahu memaksa dan melihat tindakan orang lain jelek, ia tidak patut malah tidak diperlukan oleh Abdullah.

Abdullah sendiri banyak perkara yang dilakukan tidak betul dan menunjukkan kemampuan beliau sebagai orang nombor satu negara. Paling ketara ialah mengenai bidang ekonomi. Kelembaban ransangan ekonomi negara hari ini bukan saja disebabkan kedudukan ekonomi dunia tidak stabil, tetapi ia banyak disebabkan oleh polisi atau pendekatan pentadbrian yang diambil oleh Abdullah.

Beberapa langkah dan pendekatan drastik yang diambil untuk menjana ekonomi negara dan membantu rakyat juga tidak mencerminkan kebijaksanaan beliau sebagai Perdana Menteri. Misalnya kenaikan harga petrol, tarif elektrik, pemberhentian projek mega yang menimbulkan kemarahan Mahathir dan sebagainya adalah di antara tindakan tidak popular Abdullah.

Tindakan itu semua boleh dikritik. Dan umum yakin, Abdullah bersedia mendengarnya kalaupun tidak bersedia menurutinya. Mahathir juga boleh melakukan kritikan dan teguran, namun dalam pada itu beliau perlu menerima bahawa Abdullah adalah Perdana Menteri, bukan lagi beliau yang menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapuan bila beliau ghairah mengkritik, realiti itu tidak dilihat oleh Mahathir. Beliau telah memadamkan kedudukan Abdullah selaku Perdana Menteri dan sanggup membuat apa-apa saja termasuk kritikan yang tidak masuk akal ataupun songsang. Beliau masih lagi bertindak seolah-olah selaku Perdana Menteri. Apakah dia sedar atau tidak, sukar untuk ditentukan. Namun, jika diambilkira fenomena penyakit tadi, - penyakit selepas pencen, mungkin beliau lakukan itu di dalam keadaan tidak sedar.

Misalnya kritikan terbuka beliau kepada Abdullah Badawi bukan saja tidak wajar, tetapi sudah melampau. Kritikan sedemikian bukan menunjukkan datangnya dari seorang pesara jawatan Perdana Menteri. Kritikan itu tidak bernada ikhlas tetapi semacam satu proklamasian untuk berkonfrantasi dengan Abdullah.

Apabila beliau tanpa berlapik dan secara terbuka mengakui bahawa Abdullah bukan pilihan terbaiknya (untuk menggantinya), ia merupakan satu serangan peribadi yang teruk kepada Abdullah. Bukan saja Abdullah, kalau sesiapa pun akan terkilan dan dukacita dengan kata-kata demikian. Tidak sepatutnya selaku seorang bekas Perdana Menteri yang menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Kalaupun beliau sangat marah, namun tidak pantas ucapan itu dikeluarkan. Masih banyak bahasa dan perumapama lain yang lebih beradab untuk diucapkan sebagai menggambarkan perasaan tidak senangnya terhadap Abdullah. Dengan mengeluarkan kata-kata seperti itu menjadikan Abdullah tersinggung dan sedih, dan kesannya rasa hormat kepada Abdullah akan hilang.

Ulasan Abdullah mengenai kritikan dengan mengatakan bekas PM itu bebas untuk mengkritik, dan negara ini demokrasi, - sesiapa pun boleh bersuara, secara tidak langsung telah menempelak Mahathir. Abdullah tidak payah untuk melemparkan tuduhan panas sebagai balasannya, tetapi cukup dengan mengambil sikap tenang dan tidak melayani omelan Mahathir.

Kesimpulannya, sebagai seorang yang telah pencen, sepatutnya Mahathir berehatlah secukupnya dan biarkan orang lain menjalankan urusan negara ini. Lagi pun Mahathir telah berjanji selepas bersara beliau akan menjaga dan bermain dengan cucu-cucunya. Lakukan kerja itu kerana ianya paling afdal bagi orang yang sudah pencen sepertinya itu, lagi pun ianya tidak begitu membebankan dan tidak juga boleh menganggu tugas-tugas oleh lain. Seeloknya, Mahathir diamlah!
posted by journal rAkyAt m@rhean @ 6/20/2006 03:44:00 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
journalrakyatmarhean

Name: journal rAkyAt m@rhean
Home:
About Me: Penulisan yang dipaparkan di sini adalah untuk perkongsian minat atau maklumat yang berkaitan dengan isu semasa, sama ada dari aspek Ekonomi, Sosial, dan Politik merangkumi dari dalam dan luar negera. Mungkin juga penulisan dan imej yang diambil daripada sumber lain untuk perkongsian bersama.
See my complete profile
yang lepas
arkib
rakan
Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER

journal rakyat m@rhean