|
| Tersingkir Sekali Lagikah Dr Mahathir? |
| Tuesday, June 20, 2006 |
Oleh : Datuk A Kadir Jasin
TUN Dr Mahathir Mohamad akan dipecat daripada Umno. Demikianlah khabar sensasi yang dibawa angin kencang sejak dua tiga hari kebelakangan ini.
Media massa arus perdana tidak menyiarkan berita itu tetapi akhbar-akhbar alternatif dan laman web hebat memperkatakannya. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah ditanya wartawan, tetapi beliau sekadar berkata "ini bukan tempat membincangkannya.''
Soalnya, apakah Umno mempunyai alasan yang cukup kuat dan mendesak untuk mengambil tindakan yang begitu radikal?
Kesalahan Dr Mahathir, jika boleh kita bahasakan begitu, adalah kritikan terbukanya terhadap Perdana Menteri mengenai beberapa isu termasuk kesan AP ke atas Proton, penjualan MV Agusta, penamatan kontrak jawatan Tengku Mahaleel dan pembatalan projek jambatan bengkok.
Bergantung kepada siapa yang membuat analisis ke atas khabar ini, dua kesimpulan utama muncul. Pertama, tidak masuk akal mengapa Dr Mahathir mesti dipecat dan kedua, memang patut pun beliau dipecat.
Kepada kumpulan pertama, ia tidak masuk akal kerana:
- Dr Mahathir mengkritik Perdana Menteri dan bukan Umno;
- Dr Mahathir menegaskan yang dia tetap setia kepada Umno; dan
- Kritikan beliau tercetus kerana beliau mendakwa banyak soalan yang beliau kemukakan sama ada tidak dijawab atau jawapannya tidak memuaskan.
Kepada kumpulan kedua, ia masuk akal kerana:
- Beliau mengkritik Perdana Menteri secara keras dan terbuka;
- Kritikan terhadap Perdana Menteri adalah kritikan terhadap Umno dan Kerajaan kerana Perdana Menteri adalah Presiden Umno dan Umno adalah parti induk Barisan Nasional; dan
- Dr Mahathir sudah bersara, diam sajalah dan buat amal ibadat.
Kumpulan ini mengukuhkan hujah mereka dengan merujuk kepada penyingkiran kali pertama Dr Mahathir daripada Umno pada tahun 1969. Beliau mengkritik Perdana Menteri pada ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.
Sejarah Jadi Petunjuk
Apakah kesilapan akan berulang kerana manusia tidak belajar daripada sejarah?
Kita akan mengatakan mustahil Dr Mahathir akan dipecat jikalau kita berfikir secara waras dan percaya kepada mantera semasa mengenai ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban.
Tetapi kita akan mengatakan tidak mustahil beliau dipecat jikalau kita berpegang kepada hakikat bahawa politik tidak sentiasa waras dan kepentingan jangka pendek sering mengatasi pengajaran sejarah.
Pada tahun 1969 politik hilang kewarasan. Akibatnya berlaku pertumpahan darah 13 Mei dan rentetan daripada itu Dr Mahathir mengkritik Tunku dan disingkirkan daripada Umno.
Pada waktu itu, Dr Mahathir tidaklah berpengaruh dan berjasa seperti sekarang. Dia hanya seorang bekas Ahli Parlimen sepenggal yang baru kalah pilihan raya.
Namun beliau tetap ada penyokong di dalam dan luar Umno. Antara penyokong beliau adalah Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Tetapi yang berkuasa pada waktu itu adalah Tunku. Tunku sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tetap berkuasa dan berpengaruh walaupun kedudukan beliau telah menjadi begitu lemah kerana prestasi Parti Perikatan yang buruk dalam pilihan raya dan diikuti pula oleh peristiwa 13 Mei.
Penyokong-penyokong Dr Mahathir dan pihak-pihak yang bersimpati dengan beliau seperti Razak, Allahyarham Datuk Harun Idris dan Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman tidak dapat berbuat apa-apa atau sengaja tidak berbuat apa-apa. Mereka mendiamkan diri dan membiarkan Tunku memecat Dr Mahathir.
Senario yang serupa boleh berulang. Yang berbeza hanyalah keadaan. Pada tahun 1969 Dr Mahathir adalah seorang muda yang tegas dan baru kalah pilihan raya. Kini beliau adalah bekas Perdana Menteri dan negarawan veteran tetapi tetap tegas.
Kalau dengan takdir Dr Mahathir disingkirkan sekali lagi kerana amalan berdiam diri kembali menular di dalam Umno, maka beliau akan mencacat sejarah yang sangat unik.
Beliau akan menjadi ahli politik negara yang disingkirkan daripada Umno kerana mengkritik Perdana Menteri yang membawanya masuk menjadi Ahli Parlimen dan disingkir oleh Perdana Menteri yang beliau sendiri lantik sebagai pengganti.
Sejarah, jika ia tidak berbohong, akan tetap meletakkan Dr Mahathir di suatu tempat yang unik dalam annals (catatan) politik tanah air.
Phoenix Mungkin Menjelma Semula
Dan jikalau Dr Mahathir hari ini adalah Dr Mahathir yang sama -- yang bangun umpama phoenix yang menjelma daripada timbunan abu -- maka beliau pastinya mengalu-alukan pemecatan yang hangat diperkatakan sekarang.
Ibarat kata pepatah, pucuk yang dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal. Tindakan sekeras ini, seandainya terlaku, akan menguji siapa di antara yang bertelagah lebih dipercayai dan disokong, lebih mendapat simpati dan lebih berwibawa.
Pertimbangan ini tidak kritikal bagi Dr Mahathir kerana beliau tidak lagi berkuasa dan mustahil mahu kembali berkuasa. Legasi tidak pernah utama bagi Dr Mahathir. Prinsip beliau adalah melakukan apa yang beliau fikirkan terbaik untuk rakyat.
Tetapi pertimbangan ini adalah kritikan bagi Abdullah dan pembantu-pembantunya kerana jatuh atau bangun mereka bergantung pada keyakinan rakyat jelata.
Kesimpulannya, berasas atau tidak berita sensasi yang ligat ditiup angin ini, Dr Mahathir masih boleh tidur lena. Seperti kata ungkapan Inggeris, "he has nothing to lose."
Kalau ada hanya seorang rakyat Malaysia yang menyokongnya, Dr Mahathir sudah boleh berasa gembira kerana sokongan itu pasti "genuine", pastinya ikhlas kerana beliau tidak lagi boleh menjanjikan apa-apa ganjaran kepada orang itu. Malah beliau tidak pun boleh menjanjikan perlindungan kepada orang yang itu.
Soalnya, adakah perlu politik Malaysia, khasnya politik Umno dan Melayu, menjadi seperti apa yang dihujahkan oleh Henry Adams (1838-1918) iaitu politik adalah pergerakan yang berasaskan kebencian?
Kata pendidik Amerika itu: "Politics, as a practice, whatever its profession, has always been the systematic organisations of hatreds."
Apakah mesti politik di negara, tidak kira di dalam profesion mana ia diamalkan, harus menjadi amalan dan organisasi yang secara sistematik dilandaskan di atas kebencian?
(Nota kaki: Bukan sahaja Perdana Menteri tidak menjawab pertanyaan Dr Mahathir sebaliknya menyerahkan kepada kementerian-kementerian berkenaan, nampaknya kementerian-kementerian pun mungkin tidak menjawabnya.
Ini terbukti apabila jawapan mengenai Proton dibuat semalam bukan oleh "kementerian berkenaan" yang dalam konteks ini Kementerian Kewangan, tetapi oleh Pengerusi Proton, Datuk Azlan Hahim.) |
posted by journal rAkyAt m@rhean @ 6/20/2006 03:00:00 PM  |
|
|
|
|
| journalrakyatmarhean |
|

Name: journal rAkyAt m@rhean
Home:
About Me: Penulisan yang dipaparkan di sini adalah untuk perkongsian minat atau maklumat yang berkaitan dengan isu semasa, sama ada dari aspek Ekonomi, Sosial, dan Politik merangkumi dari dalam dan luar negera. Mungkin juga penulisan dan imej yang diambil daripada sumber lain untuk perkongsian bersama.
See my complete profile
|
| yang lepas |
|
| arkib |
|
| rakan |
|
|
| Powered by |
 |
|