|
| Surat Terbuka Kepada Ahli MKT UMNO |
| Tuesday, June 20, 2006 |
Saya menulis surat ini dengan penuh keinsafan bahawa Majlis Tertinggi UMNO (MT) mampu menjadi wahana yang akan menjernihkan kekeruhan politik UMNO kebelakangan ini. Hari ini ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan bermesyuarat dan pastinya akan membuat ketetapan menyokong kepimpinan Abdullah Badawi sepenuhnya.
Namun, ssebagai ahli UMNO akar umbi, saya dan rakan-rakan ingin melihat bahawa selepas mesyuarat MKT UMNO hari ini, akan berlaku perubahan-perubahan drastik dalam corak kepimpinan negara bagi memulihkan semula imej dan keyakinan ahli parti serta rakyat jelata.
Hakikat dakwaan Tun Dr. Mahathir bahawa kepimpinan hari ini kelihatan pengecut dan tidak berani mengambil keputusan yang tuntas adalah manifestasi perasaan sebahagian kami dan rakyat jelata di bawah ini.
Apabila pemimpin UMNO enggan menjawab isu-isu penting atau menjawab secara semberono isu-isu pembatalan jambatan bengkok, penggabungan Avenue Capital Resources Berhad (MOF Inc) dengan ECM Libra (Kalimullah dan Khairy Jamaludin antara penggeraknya), isu Proton, isu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Jepun dan pembatalan serta perubahan-perubahan yang umpama yoyo dalam projek mega seperti Jambatan Pulau Pinang kedua, Landasan Berkembar dan insenerator maka ia menimbulkan kegelisahan dan kegusaran di kalangan rakyat. Rakyat melihat kepimpinan hari ini tidak mempunyai perancangan yang jelas. Pelabur melihat perubahan dasar yang tidak menentu sebagai satu tanda kerajaan yang ada tidak konsisten dan tidak sesuai untuk pelaburan jangka panjang.
Justeru, ahli MKT sepatutnya menasihati Presiden UMNO mengikuti langkah Perdana Menteri sebelum ini yang menjawab secara terbuka di Parlimen apabila Petronas membeli PKB milik anaknya semasa kegawatan lalu.
MKT juga sewajarnya menyarankan supaya Presiden UMNO menjadi telus dan terbuka dengan mengumumankan senarai penerima kontrak dan projek kerajaan terutamanya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan seperti mana yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir pada 1998.
Ahli MKT juga sewajarnya menyarankan kepada YAB Presiden UMNO selaku Menteri Kewangan supaya menjelaskan kepada Parlimen dan UMNO mengenai berapa banyak saham-saham Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang telah dijual kepada syarikat luar negara terutamanya Singapura.
Apabila kepimpinan UMNO dilihat tunduk kepada beberapa individu di dalam media dan perniagaan yang bermaharajalela mengaut keuntungan tanpa sempadan, mengambil alih syarikat berkaitan kerajaan sesuka hati dan menulis memburuk-burukkan kepimpinan sebelum ini, maka sebahagian ahli UMNO sudah hilang kepercayaan terhadap konsep kepimpinan bijaksana dan terbaik.
Ahli MKT harus mengambil tindakan tegas terhadap Datuk Kalimullah Hassan yang banyak menjadi batu api dan punca kekalutan politik UMNO hari ini. Selama dua tahun, akhbar yang dibawah pengaruhnya bukan sahaja menjadi alat menutup isu-isu membabitkan syarikat beliau seperti ECM Libra dan Ekowood, malah bertanggungjawab menimbulkan perbalahan atau perselisihan antara pentadbiran lama dan baru.
Malah Kalimullah juga merupakan orang yang bertanggungjawab membocorkan perbincangan Mesyuarat Penerangan UMNO Malaysia ke dalam akhbar "miliknya". Apakah tidak mungkin rahsia-rahsia lain yang diketahui olehnya kerana rapat dengan YAB Presiden dan menantu presiden parti juga akan sampai kepada pihak lain?
Ahli MKT UMNO harus menjadi satu benteng mempertahankan maruah negara, UMNO dan orang Melayu bukannya benteng mempertahankan Presiden parti semata-mata. Memang benar Presiden parti harus dipertahankan tetapi ini bukan bermakna tiada teguran dan perubahan perlu dilakukan.
Ahli MKT UMNO juga sewajarnya membincangkan dengan serius usaha-usaha pihak tertentu terutamanya yang dianggap sekeliling YAB Presiden memburuk-burukkan pentadbiran lama dan cuba menutup kelemahan hari ini dengan meletakkan kesalahan ke atas pentadbiran lama. Hakikatnya 80% pentadbiran hari ini merupakan dari pentadbiran lama. Jangan sampai meludah ke langit jatuh di atas batang hidung sendiri.
Ahli MKT UMNO haruslah berani menegur corak kepimpinan hari ini yang kelihatannya lebih banyak berbaik dengan lawan politik tetapi memusuhi para sahabat dan ahli parti. Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Ahli MKT UMNO juga harus bermuhasabah dalam mesyuarat hari ini sama relevan lagi menguar-uarkan majoriti besar dalam pilihan raya umum 2004 sebagai alasan untuk menghalang sebarang kritikan dan komen oleh orang lain terhadap kerajaan. Perlu diingat pengundian 2004 berdasarkan rekod pentadbiran sebelumnya bersama harapan pada kepimpinan hari ini.
Dengan mengingatkan segelintir rakyat bahawa jangan mengkritik sangat kerana kerajaan ini mendapat mandat yang besar, maka UMNO sedang mengundang malapetaka dalam pilihan raya akan datang. Jika undi yang besar dianggap sebagai satu benteng kerajaan untuk mengelak kritikan maka tidak mustahil rakyat akan bertindak lebih kurang ajar dalam pilihan raya akan datang. Jangan nanti majoriti mudah pun tidak cukup.
Ahli MKT UMNO yang belajar tinggi. Tapi bila memberi kenyataan mengalahkan kami di kedai kopi bodohnya. Di mana logiknya menjawab kritikan rakyat terhadap keputusan semasa kerajaan dengan dakwaan undi besar pilihan raya lalu sebagai sokongan rakyat kepada dasar kerajaan. Jika UMNO benar-benar mahu menggunakan sokongan rakyat, maka satu pilihan raya umum harus diadakan untuk mengesahkan dakwaan bahawa rakyat menyokong dasar-dasar kerajaan selepas 2004 sehingga sekarang.
Sepatutnya kritikan dan komentar rakyat dijawab dengan fakta dan isu bukannya dengan perkataan seperti I Dont Know, I'm Not Involved in any way atau Enough!
Seterusnya, sebagai ahli UMNO saya amat kecewa dengan cara MKT UMNO termasuk Presiden UMNO menangani isu khabar angin pemecatan Dr. Mahathir dari UMNO. Tindakan Presiden UMNO mengelak soalan tersebut apabila ditanya pemberita mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab atau mungkin memang niat Presiden untuk memecat Dr. Mahathir.
Jika dari awal Presiden UMNO menafikan atau menolak isu ini tentulah ia tidak menimbulkan konflik dan kekalutan kepada ahli UMNO.
Namun jika benar Presiden UMNO mahu memecat Dr. Mahathir maka ahli MKT buatlah keputusan yang terbaik. MKT UMNO ramai bijak pandai. Tapi janganlah kerana ada seorang dua badut cuba mengusulkan maka dijadikan perbincangan yang berlarutan. Banyak isu lebih penting yang MKT UMNO harus bincangkan. Pecatlah Dr. Mahathir jika itu yang dirasakan terbaik untuk parti.
Melihat sikap dan tingkah laku YAB Presiden parti apabila ditanya mengenai isu pemecatan Tun Dr. Mahathir dua hari lalu mencerminkan sikap, pandangan dan kehendak beliau dalam isu ini. Justeru jika itu kehendak Presiden parti, lakukanklah.
Dr. Mahathir tidak akan mati atau terseksa dengan pemecatan tersebut. Namun sejarah membuktikan pemecatan Dr. Mahathir mungkin akan dituruti sama dengan penamatan karier Presiden yang memecatnya. Orang Pak Lah fikir-fikirkanlah.
Buat penyokong Dr. Mahathir mereka harus bersedia. Adalah sukar untuk memulihkan hubungan kedua-dua pemimpin ini apabila akhbar-akhbar di bawah pengaruh YAB Presiden digunakan sepenuhnya untuk menghentam Tun Dr. Mahathir. Apatah lagi reaksi Pak Lah yang tampak selesa dengan khabar angin pemecatan ini, seolah-olah orang mengantuk disorong bantal.
Selamat bermesyuarat ahli MKT UMNO! Jika ada terdiri bijak pandai tentulah isu Pak Lah - Dr. M boleh diselesaikan seperti menarik rambut dalam tepung. Namun jika yang diluar MKT UMNO lebih berkuasa dalam hal ehwal parti maka tiada erti lagi mesyuarat MKT hari ini. |
posted by journal rAkyAt m@rhean @ 6/20/2006 02:56:00 PM  |
|
|
|
|
| journalrakyatmarhean |
|

Name: journal rAkyAt m@rhean
Home:
About Me: Penulisan yang dipaparkan di sini adalah untuk perkongsian minat atau maklumat yang berkaitan dengan isu semasa, sama ada dari aspek Ekonomi, Sosial, dan Politik merangkumi dari dalam dan luar negera. Mungkin juga penulisan dan imej yang diambil daripada sumber lain untuk perkongsian bersama.
See my complete profile
|
| yang lepas |
|
| arkib |
|
| rakan |
|
|
| Powered by |
 |
|