journal rakyat m@rhean

sebuah laman bebas,yang kreatif dan kritis..

 
TIGA REGU
SUPERDET
UNDURLah

UndurLah.jpg

SOLDIERS
TIDOQ LAGI
ROUND TWO
300 VOTES
SLEEPERS
JOHORE ROYALE
INCREDIBLES
Menyelam Penjiwa Bahasa Yang Bingung
Wednesday, April 19, 2006
Bila menilai dan mengkritik kemudian melambung naskah sendiri dan menobat naskah untuk yang terbaik. Cukup sekadar itu! Kita bukan pemain bahasa. Kita sekadar pengarap bahasa dan nilaiannya ada di tangan pembaca.

Kita tentunya akan membaca dengan jijik kiranya ada mana-mana pengarah atau karyawan filem mengagung-agung karyanya sendiri kerana mereka lupa tugas menilai sesebuah karya ialah menonton, masyarakat atau penganalisa. Pengarah atau pembikin filem hanyalah tukang filem.

Maka begitulah pula halnya apabila saya membaca sudah banyak kali yang seumpama ini tetapi kali ini saya tidak dapat menyimpan anggapan kelampauan saya terhadap Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan Arena Wati lewat Dewan Sastera bulan Ogos 2005. Hal yang sama juga telah diamal oleh Mohd Afandi Hassan, di mana tulisan dan kritikan beliau seumpama iklan ‘Rejoice ’ atau ‘Sunsilk.’

Persoalannya apakah tulisan-tulisan seperti ruangan Pabila Hujan Turun dan Gema Harapan dari sasterawan yang dinobatkan bertaraf negara patut menulis hal-hal yang menggambarkan ‘kelampauan’ karya penulis terhadap karya sendiri atau melahirkan semacam maha falsafah yang menjadi loya kita membacanya?

Kelampauan yang bagi saya sangat melucukan. Yang pertama ialah bagaimana SN Shahnon Ahmad mengupas, menganalisa, mengkerosek kerobek karya sendiri sehingga digambarkan satu kelampauan yang sangat ketara. Di dalam ruangan Pabila Hujan Turun, SN Shahnon Ahmad mengembalikan kenangannya tentang menulis kayra Ranjau Sepanjang Jalan lalu diberi analisa, maksud yang tersirat tentang ‘benih padi’ sehingga melalut, terbawa-bawa, terseret dan tentunya sengaja dipaksa menyamai benih dari air mani sehingga ke alam syahadah.

Memang air mani itu benih. Memang biji-biji padi juga benih. Dan secara tersurat tulisan SN Shahnon memanglah sepadan dikembarkan bagi menamakan sinonim. Tetapi apakah hakikat penulisan Ranjau Sepanjang Jalan itu seperti apa yang diberitahu? Secara tersirat, ia adalah kelampauan sasterawan, sikap melebih-lebih menilai karyanya. Maka di sinilah kelucuan yang sangat ketara. Yang tidak ada di ada-adakan untuk memperkukuh nilai karya sendiri.

Kita tidak merasa lucu sekiranya orang lain, penganalisa sastera mensinonimkan benih padi dengan air mani atau mensinonim dengan yang lain. Itu adalah tugas penganalisa, pengkritik. Jika ia berbetulan ialah adalah ketajaman penganalisa atau pengkritik karya itu, lalu masyarakat pun tahu. Tetapi apabila penulis sendiri mengangkat inti pati karyanya sendiri, apa lagi dengan mensinonimkan yang bukan-bukan, walaupun ada alasan dari ilmu sastera, ia adalah satu yang tidak sihat dan ia hanya satu kelampauan yang melucukan.

SN Shahnon, sejak akhir-akhir ini lewat kolum Pabila Hujan Turun seakan lupa peranan sasterawan dengan karyanya, lupa apa pula batas-batas sebagai penulis kreatif sehingga berego-egoan secara sendiri. Shahnon nampaknya bukan lagi penulis kreatif tetapi pengajar sastera supaya orang memahami karyanya sendiri atau cuba menganggap pembaca adalah golongan yang buta kreatif.

“Di mana keindahan karya?” begitu pernah saya mendengar apabila karya sendiri diperjelaskan, seperti penyair memberi tahu maksud dan makna kepada pelajar sastera di sekolah menengah. Nampaknya penyakit seperti ini mula menular ke dalam karya kreatif. Seingat kita Suhaimi Hj. Muhamad yang memulakan ditahun 60-an dulu dengan tempikan’ siapa aku dalam sastera?’

Dan dalam bidang kritikan, Mohd Afandi Hasan adalah pengkritik pertama melambungkan karya sendiri yang terbaik apabila beliau membuat kritikan karya orang lain.

Kita bukan memusuhi penganalisaan sesebuah karya tetapi bukan dalam bentuk kelampauan dari penulisnya sendiri. Saya sayang karya kreatif tetapi merasa aneh apabila penulis sendiri mengangkat kehebatan yang bukan-bukan, apa lagi ketika ia menulis karya itu tidak ada dalam fikirannya. Inilah juga alasan saya satu kelampauan kerana ia bersifat mengada-ngada, sengaja mengada-ada.

Shahnon dengan kelampauannya senang-senang membandingkan benih padi dengan alam syahadah insan. Ini juga melucukan (dalam konteks penulis sendiri mengulas) apabila pengarangnya cuba memasukan sesuatu yang mulia, satu alam mistik, alam sufi lewat karya yang dulunya kering dengan hal itu.


Saya rasa terpanggil untuk menulis hal ini kerana kita nampaknya mudah terperangkap dengan kebangkitan agama sekarang, lalu segala-galanya kita padankan dengan agama, apa lagi alam roh, alam syahadah. Ia bukan hak penulis tetapi hak penganalisa, pengkritik atau pembaca.
Begitu juga halnya dengan SN Arenawati lewat kolum Gema harapan keluaran Dewan Sastera dalam bulan yang sama. Saya melihat bentuk tulisan seperti ini satu pemborosan idea, satu pemborosan ruang yang tidak sepatutnya seorang Sasterawan Negara berbuat demikian.

Saya bimbang sasterawan kita akan dihantui istilah-istilah besar dalam karya sendiri seperti Master Piece tanpa dipertanggung jawabkan kepada penganalisa, pengkritik atau masyarakat.

Saya bimbang sasterawan kita akan muncul menjadi ‘Ayah Pin’ atau kumpulan ‘Arqam’ yang sudah sampai ke tahap AKU!


Maaf Cikgu Shahnon 'qias ini hanya untuk islah'
posted by journal rAkyAt m@rhean @ 4/19/2006 04:11:00 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
journalrakyatmarhean

Name: journal rAkyAt m@rhean
Home:
About Me: Penulisan yang dipaparkan di sini adalah untuk perkongsian minat atau maklumat yang berkaitan dengan isu semasa, sama ada dari aspek Ekonomi, Sosial, dan Politik merangkumi dari dalam dan luar negera. Mungkin juga penulisan dan imej yang diambil daripada sumber lain untuk perkongsian bersama.
See my complete profile
yang lepas
arkib
rakan
Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER

journal rakyat m@rhean