journal rakyat m@rhean

sebuah laman bebas,yang kreatif dan kritis..

 
TIGA REGU
SUPERDET
UNDURLah

UndurLah.jpg

SOLDIERS
TIDOQ LAGI
ROUND TWO
300 VOTES
SLEEPERS
JOHORE ROYALE
INCREDIBLES
Mengenang Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor
Wednesday, June 21, 2006



Image hosted by Photobucket.com
Artikel ini ditulis beberapa hari selepas bekas Presiden PAS itu meninggal dunia, tiga tahun lalu Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN(Ustaz Fadzil meninggal pada 23hb Jun 2002)

Tergamam, pedih, pilu, terharu, sebak, terasa kosong tetapi hening sekali. Itulah perasaan saya ketika mendengar khabar kematian seorang pejuang Islam unggul bertaraf negarawan, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, pagi Ahad lalu.


Almarhum pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya ketika mana parti dan negara
begitu memerlukannya. Pandangan dan sentuhan politiknya cukup memukau, penuh
hikmah, jauh ke depan, dan kadang-kadang agak sukar diterima penyokong dan
pendokong PAS buat permulaannya.


Namun, Allah lebih menyayanginya. Dan kunjungan lebih 100,000 rakyat yang mencintainya ketika majlis pengkebumian dilangsungkan adalah bukti nyata Almarhum dekat di hati rakyat.


Biarpun memimpin sebuah parti Islam terulung di rantau ini, Almarhum tetap merendah diri, mudah ditemui, begitu akrab menyantuni tetamu dan membuatkan sesiapa saja yang ingin menemuinya terasa senang sekali.


Image hosted by Photobucket.com
Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor adalah lambang pemimpin gerakan Islam dan ketua parti politik Islam yang bijak mengatur langkah dan memanfaatkan senario sekeliling. Biarpun menderitai sakit sejak sekian lama, namun beban tugas seharian ditanggungnya penuh bijaksana.


Almarhum disayangi pendokong dan penyokong parti. Beliau bagaikan seorang ayah yang mengasuh anak-anak untuk berdepan dengan medan tempur yang cukup mencabar.


Dan muktamar PAS yang terakhir di Kota Bharu menyaksikan wajahnya penuh ceria melihat
anak-anak yang diasuhnya kian matang dan teruji untuk menyahut cabaran.


Kehilangannya cukup terasa. Pemergiannya begitu meninggalkan bekas buat kita semua, bukan saja dalam PAS tetapi juga buat ummat sejagat. Almarhum telah meletakkan batu asas yang menjulang nama PAS ke persada perdana politik negara.


PAS di bawahnya adalah parti arus perdana yang tidak boleh dipinggirkan lagi. Dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen melakar sejarah tersendiri.


Image hosted by Photobucket.com
Biarpun hanya baru separuh penggal, namun isu-isu yang dikemukakan Almarhum mencakupi segenap aspek dan ini mengejutkan parti lawan. PAS bukan lagi menjuarai isu-isu agama tetapi berjaya mengungkapkan segala permasalahan negara sewajarnya.


Justeru, ia tetap dihormati semua pihak, termasuk pemimpin-pemimpin Umno dan parti
komponen BN lainnya.


Sesiapa yang mengenali Almarhum pasti tidak akan lupa bidasan tajamnya, lawak jenaka berbisanya. Seorang teman berkata, tanpa bidasan dan jenaka, itu bukan Ustaz Fadzil namanya. Dalam keras mengkritik, Almarhum menyulaminya dengan nada seloroh yang memukau. Tatapilah kembali VCD yang merakamkan ucapannya di Parlimen, bagaimana Almarhum memberi respons segera pada 'gangguan' beberapa Ahli Parlimen
pemerintah.


Pendekatan Almarhum sederhana, berhati-hati, tetapi meninggalkan impak berkesan. PAS bertuah kerana dapat meneruskan aspirasi perjuangan Almarhum apabila landasannya kukuh dibina sehingga pendekatan Almarhum, bagi saya, adalah pendekatan yang akan digunapakai oleh PAS dalam tempoh yang agak lama.


Namun dalam kesederhanaan, Almarhum cukup tegas menghadapi pancaroba durja parti
pemerintah. Berdepan larangan ceramah umum terhadap parti pembangkang, Almarhum
adalah pemidato yang tidak akan menolak undangan berceramah walaupun majlis itu
tidak mendapat permit polis. Di kala ramai lagi pemimpin pertengahan PAS yang
mungkin teragak-agak berdepan dengan FRU dan gas pemedih mata, Almarhum menunjukkan model teladan unggul.


Sekurang-kurangnya dua peristiwa besar politik negara berjaya ditangani dengan penuh berhikmah oleh Almarhum. Pertama, konflik dalaman Umno yang membuatkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Team B terkeluar, yang membentuk Semangat 46.


Pandangan jauh Almarhum terserlah bila gagasan Angkatan Perpaduan Ummah dibentuk. Sebenarnya tidak mudah untuk Almarhum berdepan dengan pelbagai kritikan, termasuk dari dalam parti sendiri, sebelum Angkatan dapat dibentuk. Kedua, pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan pada 2 September 1998.


Almarhum diberitakan terus mengunjungi Anwar di rumahnya -- ketikamana Anwar masih menjadi Timbalan Presiden Umno -- tanpa merujuk terlebih dulu dengan parti. Namun kesan dua peristiwa besar itu begitu memberansangkan, sekaligus membawa PAS ke dalam aliran perdana percaturan politik negara.


Image hosted by Photobucket.com
Apa pun, tiada kata dapat menggambarkan kepiluan dan kekosongan ini. Sentuhan kasih
sayangnya terhadap ahli-ahli parti tiada taranya. Masih tergambar bagaimana
mudahnya Almarhum ditemui di gerai-gerai makan ketika muktamar PAS berlangsung oleh
orang kebanyakan, dan mudahnya Almarhum menyambut sapaan rakyat bawahan di mana
saja.


Benar, dan benar sekali, Almarhum adalah pemimpin berjiwa rakyat, menyelami denyut jantung kepedihan rakyat dan bersedia memberi tunjuk ajar bagi ahli-ahli parti parti mengharungi perjuangan yang masih panjang ini.


Bahagian Kedua


Kesederhanaan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor banyak diperkatakan bukan saja oleh
pendokong jamaah Islam tetapi juga seteru politiknya. Sikap ramah dan kebapaannya
membuatkan bukan saja pimpinan PAS yang mendapat asuhan terus darinya sebak
mengenangnya, tetapi rakyat biasa yang sesekali dapat berjumpanya pun tidak dapat
melupakannya.


Seorang pembantu rapatnya memberitahu, dalam keadaan sakit sekalipun, sewaktu membuat pemeriksaan di hospital, Almarhum tetap beratur panjang, seperti pesakit lain juga, untuk mendapatkan ubat.


Malah seorang kerani Telekom di Alor Setar,
melihatkan Almarhum berdiri dalam deretan untuk membayar bil telefon, langsung mengisi borang keahlian PAS.


Bagi petugas di Pejabat Agung PAS, menyantuni Almarhum adalah pengalaman berharga
yang akan menjadi lipatan kenangan sampai bila-bila.


Sebelum menyewa rumah khas,
Almarhum kerap tidur di ibu pejabat parti ataupun pejabat Harakah. “Selalu sangat
Ustaz Fadzil tidur di atas sofa di pejabat agung. Dia tak mahu menyusahkan orang
lain,” kata seorang aktivis parti.


Bagi sesiapa yang selalu berkunjung ke Jalan Pahang Barat, tidak sukar untuk menyapa Almarhum di Restoran Haslam ataupun gerai Kak Ros di depan Harakah. Dengan nada suaranya yang agak perlahan, namun gurau senda dan cerita lucunya mudah mencetuskan keceriaan berpanjangan. (Ini diakui sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa
Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim; lihat Utusan Malaysia, Khamis lalu). Kita tidak
merasa terasing atau kekok meskipun baru pertama kali berdepan dengannya. Kemesraan
cukup mudah berputik.


Jika menerima undangan, Almarhum pasti tidak mengecewakan meskipun dalam keadaan uzur.


Misalnya, ketika saya melangsungkan majlis perkahwinan di Kampung Raja, Kubang Pasu, 11 tahun lalu, bila mengetahui Almarhum sedang sakit, saya tidak mahu membebankannya untuk hadir bersama. Justeru, saya hanya menghantar kad melalui pos, sekadar makluman. Saya risau jika mengundangnya secara lisan Almarhum terpaksa bersusah payah datang meraikannya.


Namun, pada petang hari kenduri, Almarhum tiba-tiba muncul. Wajahnya menggambarkan keuzuran yang ditanggungnya. Bersama dua tiga orang lagi dari Pejabat PAS Kedah, Almarhum langsung ke dalam rumah. Rupanya untuk duduk bersila pun Almarhum tak mampu, tetapi jamuan tetap dijamahnya walaupun saya kira menu juadah pantang bagi penyakitnya.


Mengimbas beberapa peristiwa besar yang dilalui PAS di zamannya, jelas Almarhum suka bereksperimen dan tidak gopoh berdepan kesulitan.


Sememangnya dalam konteks gerakan Islam sejagat, pengalaman Malaysia adalah unik dan tersendiri jika mahu dibandingkan dengan harakah Islam yang lebih berpengalaman, misalnya Ikhwanul Muslimin di Tanah Arab ataupun Jamaat Islami di India, Pakistan.


Almarhum bijak mengatur rentak dan tempo, menggauli pengalaman dan sejarah silam,
bersama rencah real politik yang serba mencabar.


Sesungguhnya tidak mudah PAS mahu keluar ke persada arus perdana politik negara setelah hampir berjaya cuba dipinggirkan pada 1986, selepas hanya menang satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa. Tok Guru Nik Aziz yang berpindah ke Bachok turut kecundang. Sebuah majalah di Indonesia meletakkan tajuk yang agak sinis buat PAS: “Menang satu kerusi untuk tubuh Negara Islam.”


Lebih awal dari itu, selepas Allahyarham Datuk Asri Muda meletakkan jawatan, tanda bermulanya era kepemimpinan ulamak, Almarhum merupakan antara arkitek utama mengemudi “PAS baru”.


Pada hemat saya, seolah-olah berlaku satu revolusi dalam PAS, apabila bukan sahaja kepimpinan bertukar, tetapi penekanan dan pendekatan perjuangan, malah roh jamaah Islam itu dimantapkan dengan idealisme baru yang lebih suci.


Dan tonggak utama PAS era baru ini, di belakang Yang Dipertua Agung, Almarhum Yusuf Rawa adalah Ustaz Fadzil.


Dalam kesederhanaan dan gurau sendanya, Almarhum tidak takut untuk melakukan perubahan. Untuk mengulas gerak langkahnya menyusun strategi ia memerlukan satu analisis khusus.


Saya cuba mahu mengungkapkan bagaimana beberapa pendekatannya berdepan real politik negara kadang-kadang disalah tanggap, misalnya ketika menghulur persahabatan dengan Tengku Razaleigh selepas pengharaman Umno 1988 dan episod pemecatan Anwar Ibrahim, sepuluh tahun selepas itu, 1998.


Berbeza dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengandaikan Almarhum tidak merujuk terlebih dahulu dengan pimpinan parti ketika membuat keputusan penting, termasuk untuk menghadiri syarahan perdana isu Palestin bersama Mahathir, lebihkurang sebulan sebelum kematiannya, saya dalam diam mengharapkan agar Ustaz Fadzil lebih
banyak bertindak atas kapasitinya sebagai Presiden tanpa perlu merujuk sangat ahli
jawatankuasa parti lainnya.


Bagi saya, Almarhum perlu lebih ‘autokratik’, dengan maksud perlu lebih selesa merumuskan agenda penting perjuangan tanpa perlu terlalu terikat dengan ‘birokrasi parti’.


Tidak pula bermakna Almarhum menolak syura dan perundingan, tetapi banyak aksi-aksi politik tempatan memerlukan langkah pro-aktif yang tangkas dan segera.


Ini kerana, pada pemerhatian saya, Almarhum amat sedikit menggunakan kuasanya sebagai presiden, dengan lebih banyak mengagihkannya kepada pimpinan di bawahnya.

posted by journal rAkyAt m@rhean @ 6/21/2006 04:04:00 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
journalrakyatmarhean

Name: journal rAkyAt m@rhean
Home:
About Me: Penulisan yang dipaparkan di sini adalah untuk perkongsian minat atau maklumat yang berkaitan dengan isu semasa, sama ada dari aspek Ekonomi, Sosial, dan Politik merangkumi dari dalam dan luar negera. Mungkin juga penulisan dan imej yang diambil daripada sumber lain untuk perkongsian bersama.
See my complete profile
yang lepas
arkib
rakan
Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER

journal rakyat m@rhean