journal rakyat m@rhean

sebuah laman bebas,yang kreatif dan kritis..

 
TIGA REGU
SUPERDET
UNDURLah

UndurLah.jpg

SOLDIERS
TIDOQ LAGI
ROUND TWO
300 VOTES
SLEEPERS
JOHORE ROYALE
INCREDIBLES
Untuk Renungan
Tuesday, February 27, 2007
HENDAK LARI KE MANA? HUKUM KARMA PASTI KENA


Kebetulan saya sempat menonton drama tangisan Datuk Zakaria Md. Deros, yang membuat penjelasan tentang istana mewahnya di kaca televisyen. Dalam penjelasannya, Zakaria memberikan alasan kenapa dia bina rumah sebesar mahligai itu. Kononnya dia nak himpun semua anak-anaknya yang sebelas orang itu dalam satu bumbung.

Mungkin sidang akhbar yang ‘dihiasi’ linangan airmata Zakaria di hadapan rakyat seluruh negara itu mampu meraih simpati pada sesetengah pihak tapi kalau diikutkan logik dan kewarasan, faktanya ialah Zakaria selaku Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pelabuhan Kelang dan Ahli Majlis MPK (Majlis Perbandaran Kelang) telah melanggar undang-undang dengan membuat rumah mewah empat tingkat tanpa kelulusan dari MPK.

Ketika kes ini baru dibongkar, Khir dengan berani telah membuat tindakan maksimum ke atas Zakaria. “Kalau MPK boleh sita rumah orang yang tidak bayar cukai taksiran, maka rumah orang lain juga boleh kena sita, dan jangan ada pilih kasih dalam mengambil tindakan,” kata Khir tegas

Pak Lah dan Datuk Najib pun dah bersetuju dengan keputusan Sultan Selangor. Pendek kata semua pemimpin atasan dah buat keputusan tak mahu menyimpan Zakaria.

“Saya sudah merujuk dan berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) serta Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) selaku Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sebelum Aidilfitri untuk membuat keputusan yang adil.

“Mereka sependapat bahawa Zakaria sudah melanggar undang-undang dan memberikan reputasi tidak baik kepada UMNO dan kerajaan negeri boleh mengambil tindakan.


Berita Harian

1 November 2006


Sultan yang selama ini jarang mencampuri urusan pentadbiran terpaksa menggunakan kuasanya untuk menasihati Zakaria agar melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang. Baginda telah menitahkan pegawainya supaya mengumpulkan maklumat dan maklum balas orang ramai mengenai kegiatan menyalahi peraturan yang dilakukan oleh ahli majlis dan ADUN.

Teguran baginda itu seharusnya diambil tindakan serius oleh ahli politik dan pemimpin masyarakat di Selangor supaya melaksanakan tanggungjawab, menggunakan kuasa dengan betul dan mengikut undang-undang.

Cuma yang agak menghairankan mengapakah perlu menunggu Sultan memanggil Zakaria untuk mengesahkah ‘salah laku’ yang dilakukan olehnya? Apakah kerajaan negeri tidak ada kuasa atau ‘kebalkah’ Zakaria sehingga arahan istana perlu dikeluarkan terlebih dahulu?

Sebagai Sultan yang biasa hidup di kalangan rakyat jelata, Sultan Selangor telah membuat tindakan tegas pada waktu yang tepat. Campur tangan Sultan Selangor itu mengambarkan rakyat sudah bosan dengan sikap pemimpin yang suka menggunakan kuasa mereka sehinggakan ada yang membuat aduan terus kepada Sultan.

Mungkin cara ini lebih baik untuk rakyat mendedahkan segala kelemahan wakil rakyat mereka kerana jika rakyat mengadu kepada Menteri Besar, aduan tersebut tidak akan dilayan segera. Saya yakin masyarakat mempunyai banyak perkara yang hendak disuarakan tetapi tidak tahu kepada siapa mereka boleh ceritakan.

Biarlah teguran Sultan itu menjadi pedoman untuk menjadi seorang pemimpin yang benar -benar berjiwa rakyat dan mengenepikan soal peribadi dan mencari kesenangan.

Sebagai pemimpin, sewajarnya menunjukkan kepimpinan melalui teladan supaya menjadi ikutan rakyat bawahan. Tetapi apabila pemimpin mengamalkan melanggar undang-undang, bagaimana pula hendak menegur rakyat yang melanggar undang-undang?

Saya yakin rakyat akan menyokong terus Menteri Besar, Datuk Seri Khir Toyo sekiranya beliau menasihatkan Zakaria bukan hanya melepaskan jawatannya sebagai Ahli Majlis MPK tetapi turut menasihatkan Zakaria supaya melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang dan Ketua UMNO Bahagian Klang. Tindakan Zakaria sebenarnya mengundang masalah kepada UMNO dan Barisan Nasional sendiri, kerana isunya sudah pasti dipolitikkan oleh pihak pembangkang yang sudah lama dahagakan bahan untuk dibahaskan.

Dalam isu ini saya harap Khir tidak perlu bersikap melindungi mana-mana pihak kerana yang bersalah tetap salah dan mereka perlu menerima hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan. Saya juga ingin mengesyorkan penubuhan satu badan siasatan istana untuk menerima segala aduan dan perihal laku Zakaria daripada rakyat Selangor yang selama ini tidak menerima layanan memuaskan daripada wakil rakyat mereka.

Arahan Khir supaya semua Yang Dipertua majlis perbandaran dan majlis daerah mengemukakan laporan mengenai ahli majlis yang melakukan kesalahan harus diterima oleh semua pihak terbabit dengan sikap positif. Kesilapan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana saja tetapi apa yang penting kita belajar daripada kesilapan dan memperbaiki keadaan. Lebih penting lagi kita mengelakkan daripada mengulangi kesilapan itu. Justeru itu, kita bersetuju bahawa Khir perlu melakukan apa yang sepatutnya, iaitu meminta ahli majlis menyelesaikan masalah mereka dalam tempoh dua bulan atau menghadapi tindakan digugurkan.

Namun sebelum tindakan diambil, mereka diberikan peluang untuk memperbetulkan kesilapan dilakukan atau mengundurkan diri. Oleh kerana kuasa untuk melantik ahli majlis berada pada tangan kerajaan dan bukannya rakyat, maka adalah menjadi tanggungjawab pihak yang berkuasa di negeri berkenaan untuk mengambil tindakan jika berlaku sebarang kepincangan membabitkan wakilnya dalam PBT.

Kita berharap wakil yang dilantik menduduki jawatan dalam majlis tempatan akan memainkan peranan masing-masing membantu penduduk di kawasan pentadbiran mereka menyelesaikan apa jua masalah yang merunsingkan mereka selama ini. Kita tidak mahu ahli majlis tempatan memegang jawatan masing-masing untuk mencari ‘glamour’ atau mencari peluang lain yang lebih menarik. Jangan membiarkan masalah pada peringkat kerajaan tempatan berlarutan tanpa sebarang tindakan. Jika majlis tempatan menunaikan tanggungjawab ini dengan berkesan, tidak akan timbul masalah sampah tidak dikutip, longkang tersumbat, banjir kilat selepas setiap kali hujan lebat, jalan berlubang dan macam-macam lagi. Kalau semua ahli majlis menjalankan peranan mereka, tidak perlu lagi amaran serta arahan daripada Menteri Besar, Ketua Menteri mahupun Sultan. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan Pusat mengkaji semula peranan PBT dan merombak mekanisme perlantikan ahli majlis supaya mereka yang berminat saja dilantik bagi membantu kerajaan menangani pelbagai masalah yang begitu dekat dengan hati rakyat.

Sebagai sebuah negeri paling maju, cerita yang berlaku di Selangor ataupun di Sarawak sebenarnya merupakan perkara yang sama saja. Ini kisah orang kaya menggunakan kuasanya untuk buat apa saja. Cuma dalam kes Zakaria, dia terlupa dia hidup dalam sebuah negeri yang ada seorang Sultan yang berani. Bukan Zakaria seorang saja yang bersikap lupa daratan, ada ramai lagi pemimpin yang lebih teruk tapi mungkin masa mereka belum tiba. Mungkinkah Zakaria yang digelar Raja Klang’ ini sudah terkena hukum karma dari tuhan akibat sikapnya yang keterlaluan hingga membuat orang lain benci?

Ingat-ingatlah, Sultan dan rakyat dah mula prihatin terhadap perangai pemimpin mereka Ini zaman ketelusan seperti yang dimahukan oleh Pak Lah. Sultan dah turun padang dan Pak Lah selaku Perdana Menteri pun dah bagi amaran supaya pentadbiran kerajaan mesti mengamalkan semangat ketelusan.

Sebahagian rakyat akur pada peraturan. Sedihnya wakil rakyat mereka sendiri yang seharusnya menghormati undang-undang tidak mengindahkan itu semua.

Seolah-olah ada satu set undang-undang yang berbeza bagi golongan ‘istimewa’ ini.

Jika seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) boleh melanggar undang-undang mengapa tidak rakyat jelata yang membayar cukai tanpa rungutan?

Bagi rakyat terbanyak hal ini cukup menyedihkan. Mereka memilih calon yang boleh diteladani, bukan calon yang menganggap mereka berada di atas undang-undang.

Apa lagi mereka punya hak istimewa untuk berbuat apa saja.

Ini rahsia yang sebenarnya bukan rahsia lagi. Ini juga adalah kegelisahan rakyat sejak seian lama.

Inilah masanya untuk membuat perubahan, sesuai dengan semangat ketelusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Di Luar Jangkaan

Bersama Johan Jaafar

Berita Minggu, 29 Oktober 2006


Di Sarawak, senarionya lebih ketara dan telah pun menjadi luka dan nanah di hati rakyat tempatan terutama golongan miskin. Kalau dibandingkan dengan apa yang terjadi di Selangor, di Sarawak rumah taraf mahligai atau istana adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang perlu disorokkan lagi.

Ada beberapa rumah menteri di Sarawak dibina sebesar mahligai dengan perabot mahal buatan luar negara dan teknologi tercanggih pada sistem keselamatan dan sistem kawalan rumah. Hal ini bukan rahsia, dah memang depan mata. Semua orang boleh tengok betapa kayanya pemimpin di saat rakyat tempatan di sekitarnya miskin dan terpinggir. Tak payahlah nak cakap pasal teknologi canggih, kemudahan asas seperti api dan air pun tak terurus dengan baik. Itu belum lagi sistem perparitan dan masalah kebersihan.

Di Selangor, nasib baik Sultan yang berani campur tangan dan bertindak tegas. Bagaimana pula di Sarawak? Kepada siapa mereka mahu mengadu jika yang bersikap seperi beraja di mata dan beraja di hati itu ialah pemimpin tertinggi mereka sendiri?

Orang politik selalu berdalih bila ditanya tentang kemewahan mereka. Bila disuruh declare harta, memang tak nampak kesalahan mereka. Tapi bila berhadapan dengan kes peribadi seperi bercerai maka terbongkarlah segala rahsia macam cerita Datuk Effendi Nawawi, pemimpin dari Sarawak.

‘Bekas isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi, Zariah Hashim @ Faridah Effendi akhirnya berjaya mendapat harta yang dituntut sejak setahun lalu, berjumlah kira-kira RM50 juta apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Mengikut perjanjian perjanjian persetujuan penceraian yang ditandatangani pada 28 Januari 2005, Effendi, bersetuju menyerahkan 25 bidang tanah di Sarawak dan Semenanjung yang bebas daripada sebarang bebanan

Turut dipersetujui ialah 100 peratus saham syarikat Encorp Utility Sdn.Bhd. , nafkah edah serta mutaah sebanyak RM50,000 dan tiga buah rumah termasuk di London dan sebuah di Taman U-Thant yang bernilai RM10 juta. ’


Utusan Malaysia

19 Oktober 2006

Cuba bayangkan betapa kayanya Effendi ini. Fikirkan juga bagaimana beliau boleh menjadi sebegini kaya? Bekas Pengerusi SEDC ini pernah dikaitkan sebagai salah seorang kronis kepada Ketua Menteri, Taib Mahmud. Dan namanya juga tersenarai sebagai salah seorang calon pengganti Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak di masa akan datang.

Apa perasan orang miskin di Sarawak bila berita-berita begini keluar di dada akhbar? Dan bagaimana pula dengan pendapat rakyat tentang wakil-wakil rakyat yang suka menunjuk kuasa dan melanggar undang-undang sesuka hati? Apakah mereka ada ‘lesen’ besar untuk buat apa saja kerana kuasa berada di tangan?

Terfikirkah kita semua bagaimana orang Melayu boleh jadi bangsa terdesak dan sentiasa hidup dalam keadaan yang terpinggir walhal negara ini diperintah oleh orang Melayu, Yang Dipertuan Agung kita Melayu, Perdana Menteri kita Melayu, Menteri Perdagangan dan Perindustrian kita Melayu, Menteri Pembangunan Luar Bandar kita Melayu, Ketua Polis kita Melayu, Ketua Angkatan Tentera kita Melayu dan boleh dikatakan semua jawatan yang penting-penting dipegang oleh orang Melayu.

Persoalan ini mengingatkan saya pada sebuah pepatah Afrika, “Dalam sebuah tasik yang sangat luas dan indah, sekumpulan teratai mati terbakar sedangkan ia tumbuh di atas air.”

Bagaimana teratai yang tumbuh di atas permukaan air itu boleh terbakar sedangkan fungsi air itu memadam api? Mengapa orang Melayu mati di tanah Melayu dan di tangan orang Melayu sendiri?

Jawapannya mudah, ini kerana tiada perhubungan atau pertalian (chemistry) sesama kita, tiada perasaan kasih sayang dan sifat mahu bertanggungjawab pemimpin kepada orang yang dipimpin. Sifat ukhwah tidak erat sedangkan kemajuan dibina hanya untuk sesuatu bersifat material. Kita hidup sendiri-sendiri sedangkan Islam menyatakan kita semua bersaudara.

Hari ini syariat saja dipentingkan tapi soal-soal perhubungan sesama manusia dilupakan seolah-olah Islam itu agama yang memundurkan kerana terikat dengan ibadah saja. Zat atau isi sebenar Islam tidak dihayati walhal Rasulullah s.a.w ketika berjuang menegakkan Islam antara perkara utama yang dilakukannya ialah mengeratkan perhubungan.


journalrakyatmarhean: Tulisan pak Habib ini terlalu menarik dan ia boleh kita fikirkan bersama.
posted by journal rAkyAt m@rhean @ 2/27/2007 11:15:00 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
journalrakyatmarhean

Name: journal rAkyAt m@rhean
Home:
About Me: Penulisan yang dipaparkan di sini adalah untuk perkongsian minat atau maklumat yang berkaitan dengan isu semasa, sama ada dari aspek Ekonomi, Sosial, dan Politik merangkumi dari dalam dan luar negera. Mungkin juga penulisan dan imej yang diambil daripada sumber lain untuk perkongsian bersama.
See my complete profile
yang lepas
arkib
rakan
Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER

journal rakyat m@rhean